Mari Pulang Bersama-Sama

Bismillahirrahmaanirrahiim.




Ramai didalam kalangan kita ini, terkadang melakukan kesilapan yang menyebabkan kita jauh dari Tuhan. Seterusnya meletakkan diri kita di satu tempat yang sangat terasing jiwanya. Kita sedar bahawa kita sedang menjauh, namun keterikatan pada jiwa yang sedang kekeringan itu membuatkan kita tidak hirau pada keadaan diri.
Akhirnya, kita masih terus berjalan dan berjalan sehingga tersesat.
Bukan jiwa itu tidak sakit sebenarnya. Tapi jiwa itu sangat merana. Cuma entah apa yang telah mengikat diri kita sehingga kita sedar bahawa kita makin jauh, kita masih juga melangkah pada jalan yang kita sendiri tidak redha. Yang kita sendiri sakit kerananya.
Saya bertanya dengan kerendahan hati. Pernah merasa begini atau tidak? Jawapannya, kamu lebih tahu. Maka jika ditanyakan kepada saya, kenapa ada jiwa-jiwa yang begini?
Orang-orang begini, dengan jiwa yang begitu, tidak jahat sebenarnya. Jangan, jangan sesekali mengatakan pemilik jiwa-jiwa begini jahat atau tiada harapan. Kerana saya percaya, orang yang masih merasa betapa sudah menjauhnya dirinya dari Tuhan itu adalah jiwa-jiwa yang masih dahagakan kebaikan dan masih ada sinar harapan.
Maka jangan sesekali berputus asa!
Duduk Sejenak, Berfikirlah
Saya sangat percaya, bahawa walaupun sejahat manapun perbuatan seseorang itu selepas dia melakukannya, pasti akan timbul rasa bersalah di dalam benaknya. Pasti akan seketika dia memikirkan kembali perbuatannya itu; perbuatannya salah, tidak baik, berdosa dan tidak mendapat redha ALLAh Ta’ala. Ini jiwa-jiwa yang masih lembut hatinya.
Dan pasti timbul dalam hati-hati itu untuk membuat andaian sendiri, ‘Kenapalah aku buat begitu? Aku tak patut buat macam tadi. Aku sepatutnya bertindak macam atau macam tu.’
Duduklah sejenak, hisab diri sendiri. Bersoal jawablah dengan diri sendiri. Apakah kita redha dengan apa yang kita lakukan? Kalau tidak, maka apa yang perlu kita lakukan? Perlukah terus berada dalam keadaan yang sekarang atau berubah kepada sebuah keadaan yang lebih baik?
Mungkin juga kerana keadaan sekeliling antara asbab yang mendorong diri untuk sentiasa lagha. Maka, tiada tolakan kepada diri kita untuk melakukan kebaikan. Atau tiada sokongan dari orang terdekat yang boleh menimbulkan kekuatan dan istiqamah dalam kebaikan.
Tapi, kamu tahu? Diakhirnya nanti, bukan keadaan atau orang-orang sekeliling yang akan di’highlight’kan. Kerana pada akhirnya nanti berbalik pada diri kita sendiri.
Ini diri kita, jasad kita. Maka kita bertanggungjawab ke atasnya. Baik buruknya nanti, ALLAh Ta’ala takkan hisab orang lain lebih-lebih mengenai diri kita.
Kalau difikir dengan fikiran waras sekarang ini, saat ini; pastinya kita tidak mahu sesuatu keaiban atau keburukan pada diri kita nanti saat-saat kematian kita di dunia atau saat penghisaban di hadapan ALLAh di padang mahsyar nanti.
Cuba bertanya pada diri kita dengan sejujurnya;
.. bahagiakah kita jika jauh dari Tuhan?
Pasti jawapannya — Tidak, bukan?
Jalan Pulang Itu Sentiasa Ada
Kadang-kadang ada manusia yang meratap nasib sendiri. Mereka katakan ALLAh Ta’ala memang jadikan diri mereka jahat dan sudah tiada sinar harapan untuk kembali semula ke jalan yang benar. Itulah diri mereka yang sebenarnya, sudah terlambat untuk berubah!
Tidak! ALLAh Ta’ala tidak pernah ciptakan manusia untuk dibinasakan. Tapi sahabat, kadang-kadang kita melampaui batas terhadap diri sendiri. Kadang-kadang kita membutakan mata, memekakkan telinga terhadap sesuatu yang kita tahu sudah sedia salah.
Pun begitu, sampai saat ini ALLAh Ta’ala masih mengizinkan kita untuk hidup; bernafas, berjalan, minum dan makan. Dia tidak mengambil nyawa kita tatkala kita sedang leka dengan dunia, malahan! Dan itu petanda apakah, sahabat?
Itu tanda ALLAh Ta’ala masih tidak menutup jalan. Dan jalan itu sentiasa terbuka luas untuk kita kembali pulang. Tetapi, kita takkan dapat melalui jalan itu jika kita tidak bergerak.
Marilah Kita Pulang Bersama
Sampai bila kita harus tenggelam dalam dosa-dosa silam. Dan secara langsung, sebenarnya kita tidak meninggalkan pun zaman silam itu.
Perubahan menuntut pengorbanan, sahabat.
Jika kita hanya fikirkan perasaan malu, perasaan takut jika ganjil daripada kawan-kawan yang lain, atau perasaan akan disisihkan oleh manusia, maka sampai bila harus berfikiran begitu?
Jalan kembali kepada Tuhan tidak mensyaratkan untuk berubah 350 darjah. Tapi berubah perlahan-lahan dan tetap istiqamah di jalan-Nya. Pulang ke jalan Tuhan tidak mensyaratkan kita kena jadi Ustazah untuk mendekat kepada-Nya.
Tidak, tidak dan tidak!
Satu yang saya sangat yakini, apabila kita bergerak dengan tekad berjalan dan berubah kerana ALLAh Ta’ala. Maka Dia pasti akan datangkan orang-orang yang baik yang kita tiada tersangka-sangka untuk menolong kita lebih kenal kepada-Nya.
Tanda ALLAh Ta’ala tidak membiarkan kita.
Ayuhlah, sahabat! Mari, kita pulang ke jalan Tuhan bersama-sama.
*menghulurkan tangan
Semoga ALLAh merahmati.

Comments

Popular posts from this blog

Pesanan Imam Al Ghazali Tentang 6 Perkara

Lirik Merisik Khabar - Sudirman

4 syarat wanita ke syurga